SEORANG lelaki dipukul sehingga mati setelah dituduh mencuri wang RM70 dalam kejadian di Kota Bharu.
Memetik laporan Sinar, insiden itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa dipercayai dipukul oleh lebih daripada seorang suspek.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 20-30an itu sebelumnya dituduh mencuri wang milik seorang suspek berusia sekitar 40-an.
“Mangsa dituduh mencuri sejumlah wang lebih kurang RM70 namun nilaian sebenar tidak dapat dipastikan.
“Mangsa dipercayai dipukul hingga mendapat kecederaan pada bahagian kepala, bawah mata dan rusuk kiri tetapi tidak ada senjata yang temui di lokasi kejadian,” katanya dipetik portal itu.
Mayat mangsa ditemui di sebuah rumah kosong juga tempat tinggal gelandangan di Jalan Pintu Pong di sini pada Sabtu.
Turut ditemui adalah kesan darah di lantai dan dinding ruang tamu rumah serta berkemungkinan mangsa terbabit dalam kes pergaduhan.
Susulan itu jelas Abdul Rahim, dua suspek termasuk lelaki berusia 40 tahun terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan mengenalpasti identiti mangsa.
“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
0 Comments