AHLI Persatuan pemandu teksi dilapor kecewa apabila dinafikan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dengan alasan mereka atau pasangan mempunyai syarikat berdasarkan data Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia, Kamaruddin Mohd Hussain yang dipetik laporan FMT berkata, isu tersebut tidak akan selesai selagi kerajaan tidak mendengar sendiri dari pihak pemandu teksi.
Mereka mahu masalah dihadapi mereka diberi perhatian khusus oleh kerajaan.
“Kami daripada Gabungan Teksi Malaysia menerima banyak aduan dan rungutan daripada ahli kami di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
“Sekalipun kerajaan mengumumkan permohonan yang tidak diluluskan boleh membuat rayuan di kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sehingga 31 Mei 2020, namun kami berpendapat tanpa perhatian khusus daripada kerajaan untuk mendengar sendiri pencerahan daripada pihak kami.
"Isu SSM membabitkan pemandu teksi tidak akan selesai dan pemandu teksi tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya dipetik laporan itu.
Kementerian Kewangan sebelum ini membuat pengumuman untuk melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei ini setelah mendapat rungutan dari pelbagai lapisan masyarakat yang permohonan BPN mereka ditolak.
Sementara itu tambah Kamaruddin, pihaknya berkali-kali menghantar surat memohon keprihatinan kerajaan agar mempertimbangkan rayuan untuk pemandu teksi yang tercicir daripada insentif bantuan one-off sebanyak RM600 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) kerana masalah kad pemandu seperti didedahkan sebelum ini.
Namun malangnya kata Kamaruddin, sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada kerajaan.
“Kami mohon dan berharap, perdana menteri akan beri perhatian terhadap rayuan kami,” ujarnya.
0 Comments