PEMIMPIN Filipina mengeluarkan amaran keras buat penduduk negara itu yang enggan mematuhi arahan ketika perintah kawalan pergerakan dilaksana di negara itu.
Presidennya, Rodrigo Duterte, sesiapa yang ingkar terhadap arahan pihak berkuasa atau menyusahkan kakitangan kesihatan telah melakukan jenayah yang serius dan tidak boleh dibiarkan.
Bercakap dalam ucapan ke seluruh negara lewat malam tadi, Duterte berkata mereka yang ingkar boleh ditembak.
“Keadaan semakin buruk. Sekali lagi saya maklumkan kepada kamu betapa seriusnya masalah ini dan kamu mesti dengar.
“Arahan saya kepada polis dan tentera... kalau ada masalah - dan sesekali mereka akan melawan balik dan nyawa anggota keselamatan dalam bahaya - tembak mereka sampai mati.
"Adakah kamu faham? Mati. Daripada menyusahkan, biar saya tanam kamu," katanya seperti dilapor Reuters.
Menurut Duterte, penting untuk semua orang bekerjasama dan mematuhi perintah kuarantin yang dikuatkuasakan kerajaan ketika angka korban di negara itu kini mencecah 100 orang.
Sejumlah penduduk di kawasan setinggan di Manila mengadakan bantahan kerana tidak mendapat bantuan makanan yang mencukupi daripada kerajaansusulan perintah kawalan itu.
Setakat ini, 2,311 kes positif direkodkan di seluruh Filipina sejak tiga minggu lalu dengan Kadar jangkitan yang dilaporkan setiap hari pula mencecah ratusan orang.
Duterte memang dikenali sebagai pemimpin yang keras termasuk pendekatan diambilnya terhadap isu dadah di negara itu sebelum ini.
0 Comments