Pecat menteri korup: kenyataan Anwar bukti kesungguhan perangi rasuah

 


KENYATAAN tegas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memecat mana-mana menteri yang terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa mencerminkan keseriusan beliau untuk memerangi aktiviti itu.

Dr Mazlan Ali yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dipetik laporan Bernama berkata komitmen Anwar itu juga menggambarkan kerajaan pimpinannya benar-benar ikhlas bekerja demi kepentingan rakyat.

"Ini adalah peringatan kepada Kabinet bahawa Perdana Menteri akan ambil tindakan kalau mereka didapati melakukan pelanggaran itu, maka secara moralnya mereka tidak layak menjadi anggota Kabinet.

"Menteri Kabinet ini akan didampingi oleh orang-orang yang ada kepentingan seperti ahli perniagaan yang akan cuba cari manfaat dengan cara memberi rasuah berbentuk sumbangan politik. Jadi dalam Kabinet Perdana Menteri ini, dia tak mahu itu berlaku," katanya menurut laporan itu.

Tambah Mazlan lagi, kenyataan itu juga secara langsung menambah keyakinan dikalangan pelabur asing membuat pelaburan di negara ini.

Ia jelasnya sekali gus akan membantu dalam memulih dan memperbaiki kedudukan ekonomi negara.

"Salah satu faktor untuk orang luar melabur di negara kita adalah Indeks Persepsi Rasuah. Kalau kerajaan yang ada sekarang diketahui umum menentang rasuah, ia akan memberi keyakinan kepada pelabur.

"Sebab pelabur yang melabur di sesebuah negara yang amalan rasuah di atas meja, mereka takut sebenarnya sebab rasuah ini boleh menyebabkan perubahan dasar, pilih kasih dan birokrasi yang tidak dijangka...jadi pelabur akan anggap itu adalah ancaman kepada pelaburan mereka," tambahnya.

Sementara itu dipetik laporan sama, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan turut memuji ketegasan Anwar itu.

Kenyataan untuk memecat mana-mana menteri yang terkait rasuah dan salah guna kuasa itu jelasnya selari dengan kehendak rakyat Malaysia muak dengan kes-kes ketirisan dan rasuah melibatkan ahli politik.

"Ini yang rakyat hendak sebab kita sudah lama berdepan dengan kes-kes ketirisan, rasuah yang juga melibatkan orang-orang politik. Jadi apa yang Perdana Menteri nyatakan mesti akan dapat sokongan bukan sahaja dari rakyat, tetapi juga pelabur-pelabur asing.

Anwar tunjuk keikhlasan tadbir negara
"Tetapi pelaksanaan juga penting, kalaulah ada kes-kes atau berita yang menyatakan anggota Kabinet beliau terlibat dengan kronisme atau nepotisme, perlu diambil tindakan. Jika tidak diambil tindakan, rakyat akan hilang kepercayaan terhadap beliau," katanya dipetik.
 
Anwar pada Ahad ketika berucap pada Program Pertemuan Mahabbah Perdana Menteri Bersama Ulama dan Asatizah menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur sekiranya budaya rasuah dan salah guna kuasa wujud dalam kerajaan pimpinannya.

Menurut Anwar, mana-mana menteri di dalam Kerajaan Perpaduan pimpinannya yang didapati terlibat dengan perkara itu akan dipecat serta-merta.
 

Post a Comment

0 Comments