SAKSI pendakwaan dalam kes penyelewengan dana syarikat 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu mahkamah, dia menjadi kambing hitam dalam skandal membabitkan berbilion dana negara.
Bekas ketua pegawai eksekutif itu berkata begitu semasa memberi keterangan di depan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collins Lawrence Sequerah pada Rabu sebagai menjawab pemeriksaan balas ketua pembelaan Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.
Terdahulu Shafee membacakan petikan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAS) mengenai 1MDB pada 2016 yang mencadangkan agar Shahrol dikenakan tindakan atas kelemahan dan kecuaian 1MDB.
Mengakui laporan itu merujuk kepada dirinya, Shahron kemudian menjawab: "Mereka menjadikan saya kambing hitam."
Shafee turut mencadangkan bahawa Shahrol keberatan bekerjasama dengan PAC kerana ia akan mendedahkan kedudukannya sebagai salah seorang yang terlibat dalam konspirasi bersama Jho Low.
Menjawab saranan itu, Shahrol kemudian menafikannya.
Memetik laporan Malaysiakini, Shafee turut memberi tumpuan kepada peranan salah seorang pengarah bebas 1MDB, Ong Kim Huat yang merupakan rakan kongsi lama kepada bapa Jho Low, iaitu Larry Low Hock Peng.
Shafee mempertikaikan mengapa ia tidak membuat Shahrol berjaga-jaga.
"Saya tidak memeriksa lebih lanjut latar belakangnya kerana Datuk Seri (Najib) mahukan dia ada dalam lembaga (1MDB)," katanya Shahrol.
Najib dakwa Shahrol diberi kuasa untuk membuat pelantikan berkenaan mengikut peruntukan penubuhan 1MDB.
Saksi terbabit juga berkata dia tidak tahu wujud hubungan perniagaan di antara Ong dengan Jho Low, atau sama ada Najib memakluminya atau tidak apabila bersetuju membuat pelantikan berkenaan.
Najib, yang merupakan bekas perdana menteri ketika era terakhir pemerintahan Umno-BN sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah dan salahj guna kuasa membabitkan syarikat pelaburan milik negara, 1MDB.
0 Comments