ARTIFAK sejarah dianggarkan bernilai lebih RM15,000 yang disimpan di Galeri Pangkor didapati hilang selepas galeri itu dipecah masuk semalam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, antara barangan artifak yang didakwa hilang adalah koleksi duit zaman Jepun, seterika lama dan tembikar antik.
Turut didapati hilang adalah barangan hiasan yang ada antaranya hampir mencecah 100 tahun.
“Kesemua barangan ini berkaitan dengan Pulau Pangkor dan koleksi bernilai dalam sejarah. Ada juga barangan yang merupakan sumbangan pelancong asing yang ditinggalkan di dalam rak di galeri itu hilang.
Ini merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan merugikan bukan sahaja nilai wang ringgit, bahkan nilai kebudayaan, sejarah dan warisan Pulau Pangkor,” katanya dipetik satu laporan media.
Sebagai rekod, galeri itu terletak di Sungai Pinang, Pulau Pangkor, ia menyimpan berbagai koleksi sejarah Pulau Pangkor dan negeri Perak. Selain itu terdapat beberapa koleksi lukisan dan barangan lama yang dipamerkan kepada pengunjung.
Sementara itu Shamsul Hazeman berkata, kejadian disedari pekerja galeri tersebut kira-kira jam 9 pagi tadi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Beliau berharap sesiapa yang terlihat atau mempunyai maklumat mengenai barangan yang hilang itu supaya menghubungi pihak MPM atau polis.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
0 Comments