PIHAK berkuasa Jerman menahan seorang jururawat kerana disyaki meracun lima bayi pra matang dengan morfin.
Ketua Polis Ulm, Bernhard Weber, berkata semua bayi berkenaan, yang berusia satu hari hingga lima minggu, berada di bilik hospital yang sama dan berdepan masalah pernafasan secara tiba-tiba hampir serentak pada 20 Disember lalu.
Bagaimanapun menurutnya , semua bayi tersebut kini berada dalam keadaan selamat.
“Hanya kerana tindakan pantas kakitangan nyawa semua lima bayi itu boleh diselamatkan,” katanya dalam satu sidang media seperti dilapor agensi berita AFP.
Difahamkan, pihak polis menahan jururawat wanita itu selepas menemui picagari mengandungi susu ibu dan kesan morfin dalam almarinya di Hospital Universiti Ulm di selatan Jerman.
Pendakwa raya Ulm, Christof Lehr, berkata kepada wartawan, jururawat muda yang ditahan itu belum didakwa secara rasmi tetapi berdepan lima pertuduhan cubaan membunuh dan menyebabkan kecederaan.
Kakitangan hospital pada mulanya mengesyaki bayi terbabit mendapat jangkitan, namun ia diketepikan selepas ujian air kencing dijalankan.
“Ujian bagaimanapun menunjukkan kewujudan morfin, walaupun dua daripada bayi berkenaan tidak ditetapkan untuk diberikan ubat tahan sakit yang kuat itu, sekali gus mendorong pihak hospital memaklumkan kepada polis pada 17 Januari lalu.
“Carian dalam almari kakitangan bertugas pada waktu sama kejadian berkenaan berlaku, menemukan picagari dipenuhi susu ibu, yang kemudian disahkan mengandungi morfin,” kata Lehr.
0 Comments