SAYAP Pemuda Bersatu (Armada) membuat keputusan tegas hari ini menolak kerjasama dengan Umno.
Melalui satu kenyataan, Armada sebaliknya mahu parti itu kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Keputusan mengenai perkara itu dicapai dalam satu mesyuarat khas yang dihadiri exco dan ketua Armada negeri, serta pengerusi Bersatu sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pendirian itu dicapai berdasarkan undian dengan dua pertiga anggota mesyuarat menyokong, dan selebihnya mengambil pendirian berkecuali.
"Ahli-ahli mesyuarat telah berbincang dan pada akhirnya bersetuju untuk menetapkan pendirian rasmi sayap Armada, iaitu menyokong penuh pendirian Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan Umno.
"(Serta) mengembalikan mandat rakyat sebagaimana yang telah diberi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas dan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan," kata Armada dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Timbalan presiden Mukhriz Mahathir menyeru parti itu kembali kepada HARAPAN.
Menteri Besar Kedah itu menyuarakan rasa lebih selesa untuk bekerjasama dengan parti politik dalam HARAPAN berbanding Perikatan Nasional.
Gesaan Mukhriz itu turut disokong seorang lagi pemimpin Bersatu, Marzuki Yahya yang mengakui HARAPAN merupakan pasukan terbaik seperti yang terbukti pada PRU ke-14.
“Ini jalan yang terbaik supaya bersatu kembali ke HARAPAN untuk tangani masalah negara yang ditinggalkan BN,” katanya setiausaha agung Bersatu itu.
Sementara itu, Armada menegaskan bahawa parti bersatu telah bersama HARAPAN sejak awal penubuhannya.
Menurut Armada mereka perlu kekal dengan prinsip untuk kekal sebagai satu keluarga ketika menghadapi masa susah dan senang.
Pada Februari lalu, Muhyiddin Yassin selaku presiden membawa keluar Bersatu daripada HARAPAN, mengakibatkan kejatuhan kerajaan HARAPAN.
Susulan insiden itu berlaku pergeseran antara Muhyiddin dan Dr Mahathir.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan semalam berkata, HARAPAN mengambil sikap terbuka jika Bersatu ingin kembali bersama gabungan itu.
Namun menegaskan bahawa parti itu perlu patuh kepada agenda perubahan serta tidak mengkhianat perjanjian dipersetujui seperti yang berlaku sebelum ini.
0 Comments