PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak melakukan tindakan yang membelakangkan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Menurut laporan Malaysiakini yang memetik akhbar Sin Chew Daily, Anwar memaklumkan semua pertemuannya dengan beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) sebelum ini tidak disembunyikan dan ia diketahui pimpinan HARAPAN.
"Saya tidak berkomplot di belakang seperti 'sesetengah yang lain', semuanya saya maklumkan kepada Majlis Pakatan Harapan (PH)," kata Anwar.
Beliau sebelumnya diajukan soalan berhubung pertemuannya dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini.
"Saya laporkan kepada majlis (presiden PH bulan lalu) tentang pertemuan itu, malah ada juga pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ini juga saya beritahu.
"Pertemuan dengan Hamzah lebih kepada perbincangan mengenai hal semasa dan perkara berkaitan Kementerian Dalam Negeri, selain menyampaikan pandangan pembangkang," katanya Anwar.
Anwar bagaimanapun dilaporkan tidak mengulas siapa yang dimaksudkan dengan 'sesetengah yang lain'.
Sebelum ini ada sesetengah pihak mempertikai pertemuan Anwar bersama Hamzah, pertemuan itu dibangkitkan kerana Hamzah sebelum ini didakwa seorang dari dalang 'langkah Sheraton' selain Muhyiddin Yassin dan Mohammed Azmin Ali.
Terdahulu, Hamzah mengakui ada bertemu dengan Anwar baru-baru ini dan menyifatkannya sebagai pertemuan peribadi antara individu yang sudah lama tidak berjumpa dan beranggapan tidak perlu dihebahkan kepada umum.
0 Comments