DUA individu bertindak mengemukakan saman pemula bagi membatalkan sidang Dewan Rakyat sehari tanpa perbahasan yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ini.
R Kengadharan dan D Arumugam yang merupakan seorang peguam dan aktivis sosial mengemuka saman itu melalui firma guaman Tetuan Gunaseelan dan Co, writ saman tiu dilapor telah diserahkan kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Memetik Malaysiakini, Kedua-dua mereka, antara lain memohon pengisytiharan bahawa persidangan Dewan Rakyat yang hanya dijadualkan untuk urusan titah Yang di-Pertuan Agong, tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu batal dan tidak sah.
Dalam afidavit sokongan yang dilampirkan itu, mereka berkata bahawa persidangan parlimen pada 18 Mei nanti sebagai tidak memenuhi artikel 55 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad turut menyifatkan persidangan tanpa perbahasan sebagai tidak menepati syarat-syarat persidangan Dewan Rakyat.
Pada Rabu, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata sepatutnya persidangan disusuli dengan perbahasan dan undian terhadap usul.
“Jadi ini bukan menepati syarat-syarat persidangan dewan rakyat. Ini juga tidak menepati peraturan-peraturan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mesyuarat ini untuk kita cuma dengar ucapan kerajaan melalui Yang di-Pertuan Agong. Ini bukan mesyuarat parlimen,” jelasnya di akaun Facebook rasminya.
Sementara itu, R Kengadharan dan D Arumugam turut menegaskan bahawa sidang parlimen yang dijadualkan pada 18 Mei ini bukanlah sidang sebagaimana dinyatakan dalam Artikel 55 (1) Perlembagaan Persekutuan setelah mempertimbangkan definisi "sitting (sidang)", "meeting (mesyuarat)", dan "session (sessi)" di bawah Kaedah 98 Peraturan Mengenai Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Mereka berkata bahawa menjadi adalah tanggungjawab perdana menteri untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 55 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Mereka juga berkata bahawa adalah pengetahuan awam bahawa pihak pembangkang berhasrat membangkitkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dan dengan mengadakan sidang sehari, pembangkang tidak akan dapat melakukannya.
Difahamkan, kedua mereka menamakan Muhyiddn Yassin dan Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff sebagai defendan dalam saman tersebut.
0 Comments