KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan bahawa tiada bukti menunjukkan peralatan seperti lorong nyahjangkit (disinfection tunnel) berkesan dalam mengurangkan kes jangkitan berkaitan koronavirus (Covid-19).
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian penilaian mendapati proses nyahjangkit daripada peralatan tersebut menyembur individu selama 20 hingga 30 saat menggunakan bahan kimia tidak memadai untuk membunuh kuman pada badan manusia.
Ujian itu jelasnya dijalankan cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan KKM terhadap beberapa model peralatan tersebut daripada beberapa negara dan juga model-model sedia ada di Malaysia.
“Berdasarkan penilaian tersebut, KKM tidak menyarankan penggunaan ‘disinfection box’, ‘disinfection chamber’, ‘disinfection tunnel’, ‘disinfection booth’, ‘disinfection partition’ atau ‘disinfection gate’ sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 terhadap manusia,” tegasnya.
Media sebelum ini melaporkan terdapat usaha daripada pihak universiti dan syarikat yang membina lorong nyahjangkit buatan sendiri bagi membantu mengurangkan jangkitan Covid-19.
Tambah Dr Noor Hisham, apa yang lebih dibimbangi ialah penggunaan bahan kimia yang digunakan juga boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan (membrane mucosa) seperti di mata dan mulut.
Sementara itu jelasnya, KKM akan terus memantau perkembangan Covid-19 dan segala maklumat yang diperolehi akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
0 Comments