Kedah adakan Sidang DUN hari ini


NEGERI Kedah melangsungkan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 hari ini.

Mesyuarat selama 25 minit di Wisma Darul Aman itu berlangsung dengan dihadiri kesemua 36 Ahli DUN (ADUN) Kedah.

Bagaimanapun menurut Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kesemua ADUN mengikuti tatacara yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan antaranya dengan memakai penutup hidung serta menjarakkan diri mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Semua yang hadir diimbas suhu badan dan menggunakan cecair sanitasi tangan dan dimestikan menandatangani surat deklarasi tahap kesihatan sebelum memasuki kamar DUN.

"Mesyuarat pada kali ini terpaksa dilangsungkan bagi mengelak berbangkit masalah undang-undang," jelasnya.

Sebagai rekod, Perkara 53 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah menyatakan bahawa Mesyuarat Pertama mestilah tidak melepasi tempoh enam bulan dari mesyuarat sebelumnya.

Tarikh akhir genap enam bulan adalah pada 24 April 2020, selepas Sidang DUN bagi Mesyuarat Bajet Negeri Kedah 2020 ditangguhkan pada 24 Oktober, 2019.

 

Post a Comment

0 Comments