PAKATAN HARAPAN hari ini menggesa kerajaan mempertimbang agar pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) ditangguhkan sementara.
Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, perkara itu perlu bagi meringankan beban penjawat awam dan ia sejajar dengan moratorium dilaksanakan kerajaan yang mampu membantu semua pihak mengharungi kegawatan ekonomi.
"Dalam keadaan ekonomi negara yang semakin suram akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), semua golongan pekerja tidak terkecuali dari terkesan, termasuk 800,000 penjawat awam yang menerima pembiayaan pembelian rumah melalui LPPSA.
"Ramai di kalangan penjawat awam kini menjadi sumber sokongan kewangan buat ahli-ahli keluarga dan sanak saudara yang tiada pendapatan pada waktu PKP ini, lebih-lebih lagi kerana wujudnya persepsi bahawa ‘penjawat awam banyak terima bantuan kerajaan’.
"Oleh itu, kerajaan perlu pertimbang semula pendirian LPPSA dan mencadangkan moratorium pembayaran selama enam bulan diberikan kepada penjawat awam gred 56 ke bawah bermula 1 April 2020," menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)Fahmi Fadzil, Dr Hatta Ramli dari Amanah dan DAP diwakili Ong Kian Ming.
Sementara itu jelas mereka, laporan ‘Malaysia Economic Monitor’ oleh Bank Dunia menyatakan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendapati 28 peratus rakyat yang bekerja terpaksa meminjam daripada ahli keluarga untuk membeli barang keperluan asas.
"Dalam keadaan sekarang, sudah pasti jumlah peminjam seperti ini bertambah dengan mendadak, dan kebiasaannya ahli keluarga yang akan dicari pada waktu ini adalah dari kalangan penjawat awam.
"Maka kesan ketiadaan moratorium ini terhadap kewangan para penjawat awam tidak boleh dipandang ringan, terutama bagi kumpulan Gred 56 ke bawah," katanya.
LPPSA pada 8 April memutuskan untuk tidak memberi penangguhan atau moratorium pembayaran balik ansuran bulanan memandangkan kebajikan penjawat awam terjaga dan bagi memastikan kelangsungan serta sumber kewangannya kekal.
0 Comments