BEBERAPA ahli parlimen pembangkang hari ini mempersoal dimana bakul makanan untuk satu juta isi rumah seperti diumumkan pentadbiran Muhyiddin baru-baru ini.
Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh, dalam ciapa Twitternya mempersoal 'kelewatan' agihan itu seperti dijanjikan sedangkan perintah kawalan pergerakan kini telah memasuki minggu ke-empat.
Menurut bekas Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga itu semua ahli parlimen diberitahu bahawa 1,000 bakul makanan akan disediakan oleh kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk setiap kawasan.
Bagaimanapun, Yeoh berkata ramai anggota parlimen di Kuala Lumpur tidak melihat bekalan tersebut,
"Kami diberitahu akan ada 1,000 bakul makanan yang akan disediakan oleh kerajaan pusat melalui JKM untuk setiap kawasan, tetapi ramai anggota parlimen di Kuala Lumpur belum melihat bekalan makanan ini dan kita sudah memasuki minggu keempat PKP.
"Jika tujuan bakul makanan memberi makan kepada yang lapar, kenapa pengedaran pada minggu keempat?
"(Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Rina Harun perlu jawab," kata Yeoh.
Sebelum ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mendakwa 225,871 isi rumah telah menerima bakul makanan tersebut.
Sementara itu, Ahli Parlimen Labis Pang Hok Liong berkata beliau menghadiri mesyuarat pada 1 April dengan pejabat JKM Segamat dan diberi taklimat mengenai peruntukan khas persekutuan berhubung 1,000 bakul makanan bagi setiap ahli parlimen.
"Setelah sabar menunggu untuk bakul makanan seperti yang diberitahu oleh JKM Segamat, mereka memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyampaikannya ke pusat khidmat saya," katanya.
Menurutnya lagi, Pengarah JKM Johor selepas itu bertindak tidak profesional tidak menjawab mesej WhatsApp daripadanya.
Ahli Parlimen Lumut Dr Mohd Hatta Ramli turut membuat dakwaan serupa.
Dipetik Malaysiakini, Dr Hatta memberitahu sehingga hari Jumaat lepas (10 April), bakul makanan belum lagi diagihkan.
"Pejabat saya telah menyerahkan senarai penerima yang berpotensi, tetapi tidak ada arahan yang dibuat bila bakul makanan akan tiba, atau siapa yang akan melaksanakan pengedarannya," katanya.
0 Comments