SEORANG penoreh maut selepas terkena tembakan dilepaskan seorang rakannya.
Kejadian itu berlaku di sebuah kebun dekat Mempateh di Pahang pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman melalui satu kenyataan berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek yang berusia 65 tahun itu melihat sekumpulan kera di atas pokok durian di tepi rumah kebun miliknya.
Suspek kemudian telah mengambil senapang patah yang berada di dalam rumah sebelum melepaskan tembakan ke arah kera terbabit.
Malangnya, rakan mangsa berusia 57 tahun kebetulan berada di atas pokok jering.
"Kera berkenaan melarikan diri ke atas pokok bidara dan suspek terdengar orang menjerit," kata Mohd Yusri.
Selepas mendengar jeritan itu suspek kemudiannya berlari ke atas bukit yang terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian dan mendapati mangsa adalah kenalannya.
"Terkejut dengan situasi itu, suspek sempat menyambut mangsa yang jatuh dari pokok jering.
"Suspek memapah mangsa untuk dibawa ke klinik namun mangsa didapati telah meninggal dunia. Suspek kemudiannya pergi ke Balai Polis Lanchang untuk membuat laporan," jelas Mohd Yusri lagi.
Susulan kejadian itu, pihak polis membuka kertas siasatan Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat.
0 Comments