SEORANG bekas menteri kanan, Tan Sri Rafidah Aziz hari ini sekali lagi mempersoal tindak tanduk pentadbiran Muhyiddin Yasin.
Ia susulan laporan bahawa ahli-ahli parlimen dalam pentadbiran itu akan mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Kecewa dengan perkara itu, Rafidah berkata "sesetengah orang" yang mentadbir negara seharusnya kembali kepada asas-asas pentadbiran untuk mencapai aspirasi bangsa dan rakyat.
"Bukan hanya dengan melantik individu di mana-mana jawatan kosong, dikosongkan, atau jawatan yang diwujudkan.
"Tetapi untuk mentadbir berpandukan integriti, kejujuran, tanggungjawab, akauntabiliti, dan kerja berpasukan, tidak dipandu oleh cita-cita dan matlamat peribadi untuk menjejaskan negara," kata Rafidah dalam kiriman Facebooknya.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu sebelumnya merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan yang dilapor media sebagai berkata, bahawa ahli parlimen yang tidak memegang jawatan dalam kerajaan ketika ini akan dilantik mengetuai GLC.
"PAS mempunyai 18 ahli parlimen, lapan adalah menteri dan timbalan menteri, seorang telah menjadi Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.
"Ini bermakna ada sembilan lagi ahli parlimen. Alhamdulillah, saya faham semua ahli parlimen kerajaan akan diberi tanggungjawab untuk mengurus GLC," kata setiausaha agung PAS dipetik.
Senarai nama tular
Terdahulu, beberapa pemimpin disebut-sebut bakal dilantik sebagai pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam waktu terdekat.
Memetik laporan hmetro pada Jumaat lalu, mereka yang dinamakan termasuklah Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai pengerusi Tenaga Nasional Berhad manakala Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga Ahli Parlimen Padang Terap dikatakan akan dilantik sebagai Pengerusi Telekom Malaysia Berhad.
Sumber berkata, antara nama lain ialah Datuk Seri Idris Jusoh yang disebut-sebut sebagai pengerusi Felda, Datuk Seri Rohani Karim (Bernas), Datuk Seri Shahidan Kassim (FGV) dan Datuk Hasbullah Osman di Syarikat Perumahan Negara Berhad.
Turut tular nama Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman, Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang dikatakan akan dilantik sebagai Pengerusi Tabung Haji, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya disebut-sebut akan ke Felcra, Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), Tan Sri Noh Omar (Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia) manakala Ahli Parlimen Parit Datuk Nizar Zakaria dikatakan ke Lembaga Getah Malaysia.
Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub turut tersenarai sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan beliau dilapor telah dilantik ke jawatan itu pada Khamis.
Manakala Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari turut dilapor dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran baru, menggantikan K Saraswathy yang merupakan seorang peguam.
Mengulas lanjut, Rafidah berkata bahawa pentadbiran Muhyiddin sekarang sedang bergerak ke belakang, terutama pada saat negara berdepan pendemik koronavirus (Covid-19).
"Semasa pandemik global Covid-19 yang sangat serius, wakil kerajaan bercakap mengenai jawatan yang selesa untuk semua orang di dalam kumpulan mereka.
"Jelas sekali, 'gear undur' telah dimasukkan dan di sini kita sedang bergerak ke belakang," tegasnya.
0 Comments