MotoGP: Andrea Iannone digantung 18 bulan


PENUNGGANG
Aprilia, Andrea Iannone, digantung 18 bulan oleh Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM).

Mahkamah Tatatertib Antarabangsa FIM (CDI) semalam mengesahkan penunggang berusia 30 tahun itu yang digantung sejak 17 Disember lalu, akan menjalani hukumannya sehingga 16 Jun 2021 selepas diuji positif kerana mengambil bahan larangan tahun lalu.

Iannone, yang digantung sementara sejak Disember lalu selepas didapati menggunakan bahan terlarang mengandungi bahan 'anabolic' menerusi sampel diambil dalam Grand Prix (GP) Malaysia tahun lalu.

Pelumba Itali itu kemudian meminta sampel B diuji, sekali gus mengesahkan keputusan awal tersebut.

MotoGP dalam satu kenyataan menambah Iannone juga secara rasminya hilang kelayakan dalam perlumbaan di Malaysia dan Sepanyol tahun lalu biarpun gagal menamatkan perlumbaan itu.

Susulan penggantungan itu, Iannone akan terlepas saingan musim 2020 ini yang kini digantung kerana penularan wabak koronavirus baru (COVID-19) selain pusingan awal tahun depan.

Bagaimanapun, pelumba Itali itu mempunyai tempoh 21 hari untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sementara itu, perlumbaan MotoGP dijadualkan akan beraksi di Le Mans pada 17 Mei depan selepas lima perlumbaan awal terpaksa dibatalkan ekoran wabak koronavirus yang melanda.

Post a Comment

0 Comments