Pasukan khas Covid-19 S'gor gesa KKM kongsi data


KEMENTERIAN Kesihatan digesa berkongsi data klinikal mengenai pesakit koronavirus (Covid-19) bersama pasukan petugas khas di peringkat negeri.

Ketua pasukan petugas khas Covid-19 Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, perkongsian berkenaan penting bagi membolehkan analisis dan tindakan bersasar dilakukan dengan berkesan.

Bercakap dalam satu program Astro Awani, bekas menteri kesihatan itu memberi jaminan bahawa mereka tidak mencari apa-apa data yang melibatkan maklumat peribadi pesakit dan menegas bahawa privasi pesakit pasti dilindungi.

"(Apa) yang kita mahu, pihak berkuasa berkongsi (maklumat) dengan kami.

"Kami tidak mendapat maklumat klinikal yang sangat penting. Kami tidak mahu identiti pesakit, nombor telefon, atau umur.

"Kami mahukan data mengenai penduduk (agar) kami dapat melakukan analisis berkaitan yang berkaitan, untuk memperbesar zon, bukan hanya daerah.

"Kami kemudiannya dapat menyasarkan ujian kami, terutamanya untuk usaha ujian pengesanan," katanya dipetik.

Tambahnya, ketika ini terdapat sedikit keengganan pihak mereka (Kementerian Kesihatan) berkongsi data kepada pasukan petugas negeri sehingga menyebabkan kesulitan.

Kerajaan Selangor pada Mac lalu menubuhkan satu pasukan khas berkenaan bagi memantau, mengawas dan memberi pendidikan kepada rakyat berhubung jangkitan COVID-19 di negeri itu.

Selain diketuai Dr Dzulkefly, pasukan itu dibantu empat individu profesional yang pernah bekerjasama dengannya di kementerian berkenaan sebelum ini selain wakil daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Post a Comment

0 Comments