SATU lagi kes dimana penduduk kampung menghalang jenazah individu yang terkorban dijangkiti koronavirus (Covid-19) dikebumikan dikampung sendiri.
Bernama dalam laporannya berkata, penduduk sebuah desa di Jawa Tengah, Indonesia cuba menghalang pihak berkuasa mengebumikan jenazah seorang jururawat yang terkorban kerana pendemik itu.
Jenazah Nuria Kurniasih, 38, jururawat di Rumah Sakit Umum (hospital) Dr Kariadi, Semarang, meninggal dunia pada Khamis lalu di Pemakaman Umum.
Namun sekumpulan penduduk menghalang pihak berkuasa daripada memasuki tanah perkuburan di desa itu sekalipun semua persiapan pengebumian telah dilakukan.
Rayuan keluarga jururawat agar penduduk kampung tidak berbuat demikianturut tidak diendahkan.
Susulan itu, Van jenazah terpaksa berpatah balik ke hospital dan jenazah kemudiannya dikebumikan di kawasan perkuburan di hospital Dr Kariadi, Semarang.
Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan berhubung kejadian itu dan berharap kejadian sedemikian tidak berulang apatah lagi melibatkan seorang petugas kesihatan, yang berjasa kepada masyarakat dan negara.
Ketua Desa Sewakul, Purbo memohon maaf kepada keluarga jururawat itu dan menyatakan beliau tidak berdaya menghalang tindakan agresif sekumpulan masyarakat di desa itu.
Warganet di media sosial dan Persatuan Perawat (jururawat) Nasional Indonesia seperti dipetik agensi berita Antara, turut mengecam tindakan sekumpulan masyarakat berkenaan.
Sebelum ini kejadian serupa berlaku di Jawa Tengah.
Penduduk Kampung Tumuyang, Bayumas menghalang tugas pihak berkuasa mengebumikan seorang mangsa koronavirus termasuk melempar kenderaan jenazah dengan kayu dan mengarahkan agar mereka berpatah balik.
0 Comments