KETIKA Pendemik koronavirus (Covid-19) semakin memburuk, kerajaan Bangladesh didakwa menjalankan perintah sekatan terhadap pelarian Rohingya dari Myanmar dalam keadaan tidak sewajarnya.
Pelarian berkenaan yang ditempatkan di Kem Tahanan Cox’s Bazar didakwa hanya dikuarantin di dalam bangsal dan ditinggalkan tanpa pemeriksaan kesihatan daripada doktor.
Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Rohingya Kedah/Perlis, Yussof Ali.
Yussof Ali yang dipetik satu laporan media berkata, keadaan kem yang menempatkan pelarian itu juga sesak dan padat, selain persekitarannya yang kurang bersih.
"Bangsal baru buat, kalau di negara ini - Malaysia, Thailand atau Myanmar, itu tidak apa. Mereka ada barang sendiri.
"Tetapi ini di satu tempat kecil, dan sekarang sudah hampir 1.3 juta orang di sana. Mereka sudah tidak boleh kawal lagi.
"Saya takut ini semua terjadi. Kita kena bantu dari segi ubat-ubatan. Kena doa kepada Tuhan agar tidak terjadi apa-apa di sana," kata Yussof yang bimbang wabak berkenaan akan merebak dengan pantas.
Jelasnya, kekurangan infrastruktur seperti tandas yang sempurna juga menjadi masalah di kem berkenaan.
Sementara itu dedah Yusoff, tiada sebarang aktiviti keluar masuk dibenarkan di kawasan itu sehingga keadaan semakin baik.
Susulan itu beliau bimbang pelarian bakal berdepan isu kesihatan dan makanan selepas pasukan polis dan tentera mengadakan sekatan jalan raya di laluan utama, selain turut mengadakan rondaan sekitar kem berkenaan.


0 Comments