PEPERIKSAAN semester II program matrikulasi (PSPM) Kementerian Pendidikan (KPM) sesi 2019/2020 dibatalkan.
Memetik laporan media, keputusan pembatakan peperiksaan itu yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei ini dibuat selepas penelitian ke atas situasi semasa Covid-19 di negara ini.
Susulan itu, KPM turut memutuskan pengajian program matrikulasi bagi sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula hari ini.
Melalui satu kenyataan hari ini, KPM berkata, keputusan peperiksaan semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan bagi semester tersebut.
“Ini selari keputusan mesyuarat majlis dekan atau pengarah asasi universiti awam pada 24 Mac. KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut (semester II) amat penting kepada para pelajar program matrikulasi sesi 2019/2020 yang ia akan digunakan bagi permohonan ke universiti awam kemasukan sesi 2020/2021.
“Justeru, keputusan akhir untuk pelajar matrikulasi sesi 2019/2020 berdasarkan gabungan keputusan semester I dan keputusan penilaian berterusan semester II.” kata kenyataan itu dipetik.
Susulan itu, KPM meminta semua pelajar yang masih berada di kampus terus mematuhi arahan berkaitan dan pihaknya akan terus memantau keadaan pelajar serta memastikan keselamatan serta kebajikan mereka terpelihara.
0 Comments