HARAPAN gesa adakan sidang khas parlimen segera


MUHYIDDIN
Yassin digesa memanggil sidang khas bagi merangka pendekatan dwipartisan dalam usaha memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Gesaan itu disuarakan Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu kenyataan media sambil mengingatkan sidang itu perlu bagi mencari jalan terbaik melindungi pekerja dan mereka yang bakal kehilangan pekerjaan pada waktu terdekat, seterusnya menyelamatkan ekonomi negara.

“Mengetengahkan perbincangan mengenai pekerjaan sebagai keutamaan rancangan kerajaan untuk ekonomi adalah penting.

“Malangnya, ini tidaklah dicerminkan dalam rancangan kerajaan setakat ini,” kata majlis Presiden sambil menegaskan bahawa sidang itu perlu diadakan minggu ini.

Ia tegas mereka boleh dijalankan dengan jumlah kehadiran minimum, dengan mengambil contoh apa yang dilakukan Parlimen Kanada baru-baru ini.

Mereka juga menyatakan kesediaan mereka untuk mempertimbangkan perbahasan parlimen secara maya bagi memastikan keupayaan mentadbir dan memimpin negara dalam masa yang sukar ini tidak terhalang.

Sidang secara maya


“Parlimen adalah badan tertinggi yang mewakili semua rakyat Malaysia. Semasa krisis, Parlimen adalah saluran untuk suara wakil rakyat kita untuk didengar, dinyatakan dan dibahaskan.

“Kita memerlukan penyelesaian dwipartisan dan menunjukkan solidariti kepada rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran terbesar yang dihadapi negara.

“Perdana Menteri perlu menunjukkan bahawa beliau bersedia untuk memudahkannya dengan mengadakan sidang khas Parlimen dengan segera,” kata kenyataan ditandatanganiAnwar Ibrahim;Mohamad Sabu; dan Lim Guan Eng itu.

Sementara itu, Majlis Presiden juga menegaskan, apa yang dikemukakan kerajaan Muhyiddin dalam pakej mereka setakat ini lebih menjurus kepada langkah jangka pendek.

Pakej diumumkan itu dan tidak merangkumi sebahagian golongan pekerja seperti yang bekerja di sektor tidak formal dan bekerja sendiri.

Dunia dijangka menghadapi krisis ekonomi yang dijangka lebih buruk daripada kemelesetan besar pada 1929, krisis kewangan Asia 1997-1998 , atau krisis kemelesetan dan kewangan dunia pada 2008 ekoran penularan Covid-19.

"Di Malaysia, ia dijangka bakal menyebabkan 2.4 juta orang hilang pekerjaan," tambah kenyataan itu lagi.
 

Post a Comment

0 Comments