Rakyat M'sia mati dalam tahanan di Thailand


SEORANG
lelaki warga Malaysia ditemui mati ketika dalam tahanan polis di Samut Prakan, selatan Bangkok.

Memetik media tempatan, lelaki berusia 41 tahun berasal dari Kuala Lumpur itu sebelumnya ditahan pihak berkuasa negara itu pada Sabtu kerana melanggar perintah berkurung dan melakukan kerosakan harta benda serta menimbulkan kekacauan.

Pegawai penyiasat Bangkaew Daerah Bang Phli, Samut Prakan Pol Maj Thanthit Danrasi berkata pekerja kilang manik plastik itu ditemui mati di sel Balai Polis Bangkaew.

“Lelaki yang mabuk itu menimbulkan kekacauan sebelum ditahan polis. Dia yang dalam keadaan mabuk dibawa ke balai polis dan ditempatkan di dalam sel bersendirian.

“Bagaimanapun, pegawai polis yang membawa makanan kepadanya semalam mendapati lelaki itu meninggal dunia. Rakaman kamera litar tertutup tidak menemui apa-apa yang mencurigakan,” katanya seperti dilapor portal FMT.

Thanthit berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Bang Phli untuk bedah siasat serta ujian Covid-19.

Manakala pihak berkuasa Thailand pula dilapor sedang menyiasat kes kematian itu.
 

Post a Comment

0 Comments