Badan profesional gesa ansuran cukai ditangguhkan


BADAN profesional berkaitan kewangan menggesa pentadbiran Muhyiddin membenarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangguhkan pembayaran ansuran cukai pendapatan sehingga Disember.

Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) dalam satu kenyataan bersama berkata, Perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini telah menyebabkan banyak PKS berdepan risiko muflis.

Ia jelas mereka kerana aliran tunai dan perolehan susut, manakala perbelanjaan pula semakin meningkat.

“Oleh itu, kami berpendapat kerajaan sepatutnya mempertimbang untuk melanjutkan penangguhan bayaran itu sehingga Disember 2020.

“Ini kerana impak rantaian bekalan yang terjejas akan dirasai untuk tempoh lama, walaupun selepas berakhirnya penularan Covid-19,” kata badan itu.

Sebagai rekod, di bawah pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang diumumkan 27 Mac lepas, kerajaan membenarkan semua PKS menangguhkan bayaran ansuran cukai pendapatan selama 3 bulan bermula 1 April lalu.

Selain itu, MICPA dan MARC juga menggesa institusi kewangan seperti bank dan institusi pembangunan kewangan tampil membantu pada saat-saat kritikal dalam sejarah ekonomi negara.

“Adalah penting bagi mereka untuk terus menyuntik dana baru ke dalam ekonomi dan menyokong aktiviti ekonomi menerusi kemudahan pinjaman kepada perniagaan yang berpotensi.

“Jika tidak, ribuan perniagaan akan gagal dan ini memberi implikasi serius terhadap sistem kewangan, ekonomi dan pasaran buruh. Malah, sebarang peningkatan perniagaan yang gagal ini boleh mencetuskan masalah sosial pada skala besar.” tambah kenyataan tersebut.


 

Post a Comment

0 Comments