ATM nafi anggota pakai helmet elak air kencing


ANGKATAN
  Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan bahawa anggotanya yang terlibat melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di bangunan Selangor Mansion terpaksa memakai topi keledar bagi mengelakkan daripada terkena simbahan air kencing warga asing.

Panglima ATM, Jeneral Affendi Buang berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan untuk anggotanya berbuat demikian susulan dakwaan dibuat di media sosial sebelum ini.

“Tidak ada perkara sedemikian (anggota tentera memakai helmet elak air kencing warga asing ketika bertugas di bangunan Selangor Mansion).

“Pihak ATM hanya memakai helmet untuk tempat yang diisytiharkan sebagai kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), manakala di tempat lain seperti biasa,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mendakwa anggota tentera yang berkawal di bangunan Selangor Mansion di bawah PKPD bertopi keledar untuk mengelak air kencing warga asing dari tingkat atas bangunan itu.

Media sebelum ini turut melaporkan warga asing menunjukkan protes dengan larangan ke atas mereka untuk keluar dan masuk ke bangunan itu dengan melempar barangan dari tingkat atas.

Anggota bertugas itu turut didakwa berdepan dengan balingan bungkusan plastik berisi air kencing selain sampah.

Post a Comment

0 Comments