PENGELUAR kereta nasional, Proton Holdings Bhd dilapor akan menghasilkan pelindung muka bagi menampung kekurangan komponen penting peralatan perlindungan peribadi (PPE) itu.
Langkah itu akan dimulakan sebagai sebahagian tanggungjawab syarikat itu untuk membantu petugas barisan hadapan sektor kesihatan yang kini sedang berusaha menangani pandemik koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Syarikat itu menyasarkan penghasilan 60,000 pelindung muka dalam masa 20 hari.
Difahamkan operasi pengeluaran yang melibatkan kakitangan Proton itu dijangka bermula pada 13 April ini di ibu pejabatnya di Shah Alam.
“Sebagai jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong oleh tanggungjawab untuk membangunkan industri kereta tempatan dan menyokong negara dan rakyat sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.
“Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta. Oleh itu, kami menggunakan kelebihan itu untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong barisan hadapan negara membendung penyebaran Covid-19,” kata timbalan ketua pegawai eksekutif Proton Radzaif Mohamed dalam kenyataan.
Pelindung muka dihasilkan itu kemudian akan dihantar secara berperingkat dan Proton akan bekerjasama dengan pihak kementerian untuk mengedarkan peralatan itu secara percuma mengikut tahap keperluan di setiap daerah.
Syarikat itu sebelum ini meminjamkan 50 unit Proton X70 untuk kegunaan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani penularan Covid-19.