PENDUDUK dalam daerah yang dikategorikan sebagai zon merah di Selangor akan menjalani ujian bagi mengesan koronavirus (Covid-19).
Bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang kini mengetuai pasukan petugas khas bagi menangani wabak berkenaan di negeri itu bagaimanapun berkata, ujian tersebut akan dibuat kepada mereka yang terpilih sahaja.
Ia jelasnya berdasarkan lokasi, umur dan status kesihatan mereka.
“Kami ingin menguji seberapa ramai yang mungkin tetapi dana kami terhad, jadi kami menyasarkan kawasan tertentu berdasarkan pengiraan kami.
“Kami akan memilih individu yang dikenal pasti terdedah dan berisiko,” kata Dzulkefly seperti dipetik The Malaysian Insight.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata inisiatif tersebut dibuat atas saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengenal pasti pembawa virus itu yang mungkin tidak bergejala tetapi mungkin menjangkiti orang lain.
Sehingga 9 April Selangor mempunyai 1,118 kes positif Covid-19 dengan enam kematian.
Kerajaan Selangor yang ditadbir KEADILAN sebelum ini memaklumkan ujian saringan itu yang melibatkan beberapa lokaliti yang telah dikenal pasti bermula Jumaat.
Mereka menyasarkan sekitar 1,000 ke 1,200 penduduk di negeri akan melakukan ujian saringan terbabit.
Sementara itu, Dzulkefly berkata kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat keputusan sama ada menyambung perintah kawalan pergerakan (PKP) yang akan tamat 14 April ini atau tidak.
Menurut Dzulkefly kerajaan juga perlu mempertimbangkan melonggarkan PKP secara perlahan-lahan sekiranya perintah kawalan itu perlu dilanjutkan untuk mengelakkan ekonomi terjejas.
Beliau bagaimanapun berkata PKP tidak sepatutnya dihentikan kerana ia masih perlu dilaksanakan untuk mengurangkan penyebaran jangkitan.
0 Comments