MAJLIS Keselamatan Makanan Negara perlu ditubuhkan segera, tegas bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menurutnya, Majlis khusus itu perlu sebagai persiapan berdepan dengan krisis bekalan makanan ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang sedang melanda Malaysia.
Susulan pandemik itu tambahnya, semua negara akan berdepan dengan krisis bekalan makanan ekoran wabak COVID-19 dan setiap negara akan menjaga kepentingan masing-masing.
Malaysia tegasnya tidak boleh terkecuali dari mengambil langkah bagi menjamin rakyatnya terus mempunyai bekalan makanan mencukupi.
"Malaysia masih lagi mengimport 30 peratus bekalan beras dan mengimport 70 peratus bekalan daging.
"Tetapi dengan lumpuhnya seluruh dunia, dari mana kita akan mendapat bekalan makanan yang mencukupi?
"Vietnam, sebagai contoh, sudah menghentikan eksport beras ke Malaysia, jadi apa yang akan terjadi sekiranya wabak ini berterusan?" katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Salahuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai, yakin pakar-pakar dalam negara mampu menyusun strategi bagi mengatasi masalah ini sekiranya Majlis itu ditubuhkan kelak.
0 Comments