Undang-undang lompat parti perlu diwujudkan


UNDANG-UNDANG
Anti Lompat Parti perlu diwujudkan bagi memastikan tiada sebarang pengkhianatan dilakukan mana-mana ahli parlimen.

Pengerusi Biro Undang-undang Parti AMANAH Negara (KANUN), Dr Zulqarnain Lukman berkata, jika undang-undang itu tidak dilaksanakan, maka mentaliti ‘tawar-menawar’ akan terus berlaku.

"Jadi kerajaan yang ada pun jatuh, sekali gus boleh membuat (menyebabkan) ketidakstabilan politik dalam negara yang akhirnya akan membuatkan pelabur menjauhkan diri daripada negara yang tidak stabil,” katanya dipetik laporan Malaysia Dateline.

Dr Zulqarnain berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keperluan mewujudkan undang-undang untuk menghalang wakil rakyat daripada melompat parti.

Pada 24 Februari lalu, beberapa Ahli Parlimen KEADILAN mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Mereka kemudiannya menyokong Muhyiddin Yasin bagi membentuk kerajaan baharu di peringkat persekutuan dan negeri melalui kerjasama bersama Umno dan PAS.

Gabungan itu yang kemudian digelar sebagai 'kerajaan pintu belakang' oleh sebahagian rakyat menyaksikan mandat diperolehi HARAPAN pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dinafikan.

Semenyata itu tambah Dr Zulqarnain, Undang-undang Lompat Parti mestilah diluluskan oleh Parlimen sendiri.

“Itu adalah bidang kuasa Parlimen yang ada dalam Perlembagaan di bawah Perkara 10 kerana hanya Parlimen sahaja yang boleh membuat undang-undang untuk menyekat kebebasan hak asasi,” jelasnya lagi.
 

Post a Comment

0 Comments