PENGENDALI kapal persiaran Jepun, Luminous Cruise memfailkan perisytiharan bankrap setelah sebilangan besar pelanggannya membatalkan tempahan susulan penularan wabak koronavirus.
Luminous Cruise dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman webnya memaklumkan, syarikat itu bergelut dengan kenaikan kos bahan api dan kesan daripada taufan sebelum ini sebelum penularan wabak koronavirus menambah masalah lebih teruk kepada syarikat mereka.
“Sejak 1 Februari lalu, ramai pelanggan kami membatalkan tempahan mereka kerana bimbang dengan penularan koronavirus.
“Jika kami meneruskan operasi, syarikat akan berdepan dengan masalah serta kerugian yang lebih besar. Buat masa ini, operasi kapal persiaran sudah dihentikan,” katanya menurut laporan Reuters.
Keputusan Luminous Cruise itu antara yang pertama berpunca akibat wabak yang berpunca dari China itu.
Pakar ekonomi sebelum ini memberi amaran lebih banyak syarikat akan menerima kesan apabila jumlah pelancong menurun dengan mendadak.
Baru-baru ini, sebuah hotel di Aichi turut mengambil langkah serupa selepas ramai pelancong terutama dari China membatalkan tempahan mereka.
0 Comments