ANGGOTA Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Pahang diingatkan agar tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak atau parti yang dianggap mengkhianati amanah rakyat.
Pengerusi KEADILAN negeri, Fuziah Salleh, berkata semua pimpinan dan anggota parti di negeri itu kini akan terus dipantau oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN) agar mereka tidak menjadi duri dalam daging sekali gus merosakkan parti itu dari dalam.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pimpinan dan ahli yang didapati bersekongkol dengan mana-mana parti atau kumpulan yang mengkhianati amanah rakyat.
"MPN PKR Pahang berdiri teguh dengan idealisma perjuangan parti dan setia di bawah kepemimpinan presiden, Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan.
Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tumbang susulan kemelut melanda gabungan itu baru-baru ini.
Dua bekas pemimpin parti itu. Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dipecat serta merta dari parti itu setelah mereka diputuskan sebagai telah melakukan pengkhianatan terbuka.
Beberapa pemimpin parti itu termasuk Ahli Parlimen Pahang, Saifuddin Abdullah, yang mewakili Indera Mahkota turut bertindak mengumumkan keluar parti dan mengikut kedua-dua pemimpin yang dipecat.
Dalam perkembangan sama, Fuziah menegaskan bahawa KEADILAN Pahang akan terus setia dan bekerjasama dengan DAP dan Amanah bagi memastikan pentadbiran negara ambil alih semula oleh HARAPAN sejajar dengan mandat yang diberikan rakyat dalam PRU14 lalu.
0 Comments