Dorna Sport batal perlumbaan MotoGP di Qatar


PEMEGANG hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, Dorna Sports mengumumkan tiada perlumbaan kelas MotoGP di Qatar hujung minggu ini.

Keputusan itu dibuat berikutan kebimbangan terhadap wabak koronavirus, terutamanya dalam kalangan penunggang Itali yang akan bersaing dalam kelas utamanya musim ini.

Dalam kenyataan rasminya, badan itu memaklumkan bahawa keputusan itu dicapai dengan persetujuan Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan juga Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

"Setakat hari ini, semua penumpang tiba di Doha dengan penerbangan terus dari Itali, atau berada di Itali dalam dua minggu lepas, akan dikenakan kuarantin sekurang-kurangnya 14 hari.

"Itali jelas memainkan peranan penting dalam kejohanan dan kelas MotoGP - sama ada di litar mahupun di luar litar, oleh itu keputusan telah diambil untuk membatalkan persaingan kelas utama," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, perlumbaan lain termasuk kelas Moto2 dan Moto3, akan diteruskan seperti biasa memandangkan penunggangnya telah berada di ibu kota Qatar sejak awal minggu ini untuk ujian rasmi tiga hari di Litar Antarabangsa Losail.

Perlumbaan kelas Moto2 dan Moto3 juga akan diadakan bagi pembuka musim yang dijadualkan pada 6 hingga 8 Mac, begitu juga dengan Idemitsu Asia Talent Cup, yang akan mempunyai dua perlumbaan.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, sejumlah 34 orang telah disahkan mati di Itali akibat wabak koronavirus.

Ketua Agensi Perlindungan Awam Itali, Angelo Borrelli dilaporkan berkata jumlah orang yang dijangkiti virus itu di negara berkenaan meningkat 50 peratus kepada 1.694 hanya dalam 24 jam.

 

Post a Comment

0 Comments