Badan Peguam gesa hormati hak berhimpun dan bersuara


PIHAK berkuasa digesa menghormati kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Gesaan itu dibuat Badan Peguam Malaysia, selepas aktivis Fadiah Nadwa Fikri disiasat polis di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik hantaran di media sosial bagi mengajak orang ramai menyertai perhimpunan aman di Dataran Merdeka pada 29 Feb.

"Kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Semua rakyat Malaysia berhak untuk kebebasan ini tanpa mengira pegangan politik dan ideologi mereka.

"Semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka tentang senario politik yang berlaku," kata Presiden Badan Peguam Abdul Fareed Abdul Gafoor dalam satu kenyataan seperti dilapor beberapa portal berita tempatan.

Selain Fadiah, beberapa individu termasuk bekas Presiden Badan Peguam, Ambiga Sreenevasan dan aktivis Marina Mahathir juga kini disiasat polis kerana didakwa terlibat dalam satu perhimpunan susulan krisis politik baru-baru ini.

Sementara itu, Badan Peguam turut pihak polis melakukan tugas asal mereka dan bukan menyekat rakyat Malaysia daripada melaksanakan hak yang dijamin perlembagaan.

"Badan Peguam Malaysia menyeru pihak berkuasa menghormati hak rakyat Malaysia untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka kepada iklim politik negara ini dengan cara yang teratur dan tanpa kekerasan.

"Pihak polis, dalam peranan mereka menjaga ketenteraman awam, harus memudahkan perhimpunan aman tersebut dan bukan bersikap skeptikal terhadap kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang sah sebagai ancaman kepada ketenteraman awam," kata Abdul Fareed.

Post a Comment

0 Comments