AMERIKA SYARIKAT (AS) mencatatkan kes kematian kedua akibat jangkitan koronavirus (Covid-19).
Perkembangan terbaru itu diumumkan pihak berkuasa kesihatan awam Seattle dan daerah King pada Ahad.
Kematian terbaru itu dilaporkan pada Sabtu membabitkan seorang lelaki berusia lingkungan 70 tahun. Kes kematian pertama melibatkan lelaki berusia lingkungan 50 tahun.
"Dengan empat hasil ujian, keseluruhan jumlah kes disahkan di daerah King ialah 10," kata pihak berkuasa kesihatan itu dalam satu kenyataan seperti dilapor agensi berita Sputnik.
Menurut kenyataan itu lagi, semua kes baharu dan dua kematian itu dilaporkan di kemudahan Evergreen Health di Kirkland.
Gabenor Washington, Jay Inslee sebelum ini mengisytiharkan darurat susulan penularan virus tersebut.
Inslee turut mengeluarkan dana untuk agensi negeri dan membenarkan penggunaan Pengawal Negara Washington di bawah langkah kecemasan tersebut.
Difahamkan, jumlah jangkitan Covid-19 yang direkodkan di AS kini mencecah sekurang-kurangnya 70 kes.
0 Comments