PIHAK berkuasa Arab Saudi menyediakan 25 hospital di seluruh negara itu untuk menangani kes jangkitan koronavirus.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Mohammed Abdelali berkata, kesemua rakyat mereka yang dibawa pulang dari kawasan terjejas virus itu juga akan diberikan penjagaan kesihatan yang perlu.
“Kira-kira 2,200 katil telah disediakan untuk kes kuarantin,” ujarnya dipetik laporan agensi berita antarabangsa.
Difahamkan sehingga kini, Riyadh masih bebas jangkitan wabak itu.
Ancaman virus itu yang dikesan di China pada penghujung tahun lalu juga tidak menjejaskan urus niaga di Arab Saudi.
Sementara itu, Setiausaha Rendah untuk Kementerian Hal Ehwal Haji dan Umrah, Abdulaziz Wazzan memaklumkan mereka sudah mula menghentikan sistem automatik untuk mengeluarkan visa umrah dan sistem pemprosesan visa untuk tempoh singkat.
“Langkah berjaga-jaga telah diedarkan kepada agensi umrah dan yang beroperasi di negara ini serta ejen luar,” jelasnya.
Keputusan penggantungan sementara visa umrah yang berkuat kuasa pada Khamis lalu menyebabkan kira-kira 106,000 jemaah sudah meninggalkan negara itu.
Malaysia antara beberapa buah negara yang visa untuk mengerjakan umrah telah dibekukan sementara.
0 Comments