Satu lagi kes polio dikesan di Sabah


SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun dari sandakan dikesan menjadi mangsa terbaru polio di negara ini.

Memetik Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kanak-kanak itu yang bukan warga tempatan dikesan tidak menerima vaksin polio sejak dilahirkan

“Kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima vaksin polio sejak lahir dan mengalami gejala lemah kaki kiri pada 18 Januari lalu dan sudah dirawat di hospital. Kanak-kanak terbabit kini berada dalam keadaan stabil.

“Kes terbabit juga disahkan sebagai polio oleh Makmal Rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Australia pada 5 Mac lepas,” katanya dipetik Berita Harian.

Setakat kini empat kes polio yang disahkan WHO dikesan di Sabah.

“Sehingga Ahad lalu, ada empat kes polio di Sabah yang disahkan oleh makmal WHO di Australia.

“Tiga daripada empat kes terbabit membabitkan pesakit bukan warga negara yang tidak pernah menerima vaksin polio,”  tambah Noor Hisham.

Susulan itu tambahnya, kemententerian akan memperluas survelan persekitaran ke semua daerah di Sabah dan semua negeri di Malaysia bagi memastikan virus polio dapat dikesan dan dicegah awal.

“KKM melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah meneruskan semua aktiviti kawalan dan pencegahan wabak polio di Sabah menerusi kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) yang bermula semenjak 27 Disember tahun lepas secara berperingkat.

“Kempen membabitkan pemberian vaksin oral polio (OPV) menyasar semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh Sabah.

“Sebanyak dua dos vaksin bivalent oral polio type 1 dan 3 (bOPV) dan dua dos vaksin monovalent oral polio type 2 (mOPV2) diberikan secara titisan ke dalam mulut kepada setiap kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh Sabah,” tambahnya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Sabah mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memastikan penularan virus polio yang dikesan di negeri itu tidak merebak.

BACA: Sabah ambil langkah tangani polio


Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung pada Disember berkata, bagi memastikan usaha itu berjaya, kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Sabah akan diberikan imunisasi polio secara oral.
 

Post a Comment

0 Comments