Sabah pula tutup sementara masjid dan surau


SELEPAS
Negeri Sembilan, Sabah merupakan negeri terbaharu yang mengambil keputusan menutup sementara masjid dan surau di negeri itu bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Mufti Sabah, Datuk Bungsu Jaafar berkata, aktiviti termasuk solat berjemaah di masjid dan surau negeri itu ditangguhkan selama 10 hari sehingga 26 Mac ini.

Sepanjang tempoh tersebut tegasnya, semua masjid dan surau dinasihatkan membuat pembersihan sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan jangkitan kuman.

“Namun lanjutan atau penamatan tempoh 10 hari berkenaan tertakluk kepada nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Majlis Fatwa Negeri Sabah.


Sebelum ini, Sabah dilapor merekodkan jumlah tertinggi kes positif kes berkaitan Koronavirus (Covid-19) susulan perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur sebelum ini.

Pihak berkuasa negeri mengumumkan menutup sementara sekurang-kurangnya empat markas tabligh di Sabah.

Sementara itu, Bungsu turut menjelaskan kaedah pengurusan jenazah di negeri itu sekiranya berlaku kes kematian akibat koronavirus.

Jelasnya, pengurusan jenazah mesti dilaksanakan mengikut keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 27-29 Oktober 2015 mengenai “Pengurusan Jenazah Orang Islam Yang Disyaki atau Disahkan Dijangkiti Virus Ebola di Malaysia.”

“Ia merangkumi pengecualian dan kelonggaran (rukhsah) sekiranya terdapat keadaan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada nyawa manusia yang menguruskan jenazah.

“Dalam hal ini, jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan oleh pakar perubatan dijangkiti virus Covid-19 diharuskan diuruskan melalui prosedur tayammum di atas permukaan beg atau pembalut plastik yang membalut jenazah.

“Namun sekiranya jenazah masih boleh mendatangkan mudarat kepada pengendali walaupun dengan menggunakan kaedah tayammum, maka jenazah wajib dikafankan, disolatkan dan dikebumikan tanpa dimandikan.

“Perkara ini berasaskan keputusan Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang pada 4 hingga 5 Mac 2020,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments