PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memaklumkan penutupan sementara Uptown PKNS Shah Alam di Seksyen 24, bermula malam ini sehingga 31 Mac depan.
Pengurus Komunikasi Korporat PKNS, Mahfizul Rusydin Abd Rashid dipetik berkata, langkah itu selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal koronavirus (Covid-19).
“Uptown Shah Alam yang berada di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan ditutup sementara waktu.
“Arahan penutupan sementara ini akan berkuatkuasa mulai 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 dan melibatkan 430 peniaga di tapak berkenaan.
“Keputusan dan arahan ini diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan pihak peniaga serta pengunjung Uptown Shah Alam bagi mencegah kemungkinan COVID-19 merebak dengan lebih meluas.
“Semua peniaga di Uptown Shah Alam sudah dimaklumkan dan peniaga boleh menghubungi Bahagian Jualan Hartanah Wilayah Utara PKNS untuk maklumat lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu menurut Hanfizul, semua premis perniagaan di Kompleks PKNS dan SACC Mall di Seksyen 14 ditutup dalam tempoh yang sama kecuali perbankan, peruncitan dan kedai serbaneka.
PKNS juga jelasnya sudah mengambil langkah-langkah proaktif sebelum ini dalam usaha mencegah penularan Covid-19 di Ibu Pejabat PKNS.
“Kami sudah mengadakan saringan kesihatan di Lobi Pelawat serta menangguhkan acara-acara rasmi membabitkan perhimpunan ramai,” tambah Mahfizul.
0 Comments