Rafizi masih tak mahu kembali ke pentas politik


RAFIZI RAMLI
menegaskan pendiriannya untuk tidak kembali bergiat aktif atas pentas politik negara.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu yang dipetik laporan Malaysiakini berkata, beliau tidak rancangan untuk kembali aktif walaupun ada gesaan supaya beliau kembali.

"Tiada Komen. Apa saja yang saya kata, ia akan diputar belit menjadi satu spekulasi.

"Tetapi saya tiada rancangan untuk kembali dalam politik. Saya harap mereka faham," katanya menurut portal itu.

Rafizi sebelumnya mengulas gesaan dibuat Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis agar bekas Ahli Parlimen Pandan itu bersama Nurul Izzah Anwar kembali membantu HARAPAN bagi persediaan menghadapi PRU akan datang.

Rafizi sebelum ini dianggap sebagai arkitek yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. Beliau mengumumkan pengunduran dari politik setelah mahkamah melepaskannya dari hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC)

Manakala Nurul Izzah pada Dis 2018 pula meletakkan jawatannya sebagai naib presiden dan pengerusi KEADILAN Pulau Pinang. Pada Mac 2019, beliau juga melepaskan jawatannya dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi memberi tumpuan di kawasan parlimen Permatang Pauh diwakilinya.

Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dianggap generasi muda yang bakal mempimpin parti itu.

Pada November lalu, Anwar berkata, kedua-dua pemimpin muda itu wajar diberi ruang sebelum kembali aktif dalam politik negara.

Rafizi kini terlibat dengan usaha membangunkan platform kecerdasan buatan (AI) bagi membantu suai padan kerja dan menambah baik pasaran pekerjaan.

"Saya fikir saya boleh menyumbang dalam pembinaan negara dengan cara ini juga.

"Ada ramai pemimpin muda dan berbakat, mereka akan menyahut seruan untuk berkhidmat kepada negara," kata Rafizi.

Post a Comment

0 Comments