Pesanan Anwar dan Wan Azizah kepada rakyat


WALAUPUN
tidak lagi menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, ternyata kebajikan rakyat tetap dalam ingatan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Susulan penularan gelombang kedua wabak koronavirus di negara ini, Dr Wan Azizah mengingatkan rakyat agar terus mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kebersihan diri.

Melalui satu rakaman bersama suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Dr Wan Azizah turut mengingatkan pentadbiran negara agar meningkatkan kesiapsiagaan menangani kluster COVID-19.

Hal itu kerana kata beliau, kluster tersebut kini berada di peringkat secondary spike susulan jumlahnya yang semakin meningkat.

"Dahulu kita dapat menangani tapi kali ini sebab seorang super spreader, walaupun ramai didapati sembuh dan keluar dari hospital.

"Untuk tanggungjawab diri kita, personal hygine (kebersihan diri) itu mesti jaga. Kalau kita bersama-sama, dan sedikit batuk perlu self quarantine (kuarantin diri) dan jika terpaksa keluar kita pakailah mask (topeng muka)," katanya melalui rakaman video berdurasi dua minit lebih yang disiarkan.
Sebagai rekod, Dr Wan Azizah antara individu berkerja keras menangani gelombang pertama penularan wabak koronavirus bersama Kementerian Kesihatan sebelum ini. 

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang dipengerusikanya sebelum ini berjaya membawa pulang rakyat Malaysia yang terperangkap di Wuhan melalui dua Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana yang digerakkan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN). 

Sementara itu, Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)berkata, walaupun angka jangkitan COVID-19 mengalami peningkatan yang mendadak, namun ia harus ditangani secara tenang oleh semua pihak.

"Negara kita juga tidak terlepas dilanda malapetaka jika tidak kawal novel koronavirus (COVID-19).

"Oleh yang demikian, kita patut patuhi beberapa saranan para doktor seperti sering membersihkan tangan dan elak tempat-tempat awam yang ramai dan tertutup.

"Harus sentiasa berdoa, ada beberapa masjid yang menjalankan solat hajat khas dan doa-doa khas yang dipesan oleh ustaz kita dan terus amalkan," katanya dalam rakaman itu.

Post a Comment

0 Comments