PBB mahu perang diisytihar terhadap koronavirus


PERTUBUHAN
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu dunia mengisytiharkan perang ke atas virus koronavirus (Covid-19).

Perkembangan itu susulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan wabak itu sebagai pandemik dua hari lalu.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres agensi berita Xinhua berkata "Kita mesti mengisytiharkan perang terhadap virus ini".

Guterres  juga mengingatkan agar setiap negara mengambil langkah bertanggungjawab bagi membendung penularan wabak tersebut.

"Ini bermakna setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan langkah pencegahan dengan melaksanakan strategi berkesan, mengaktifkan segala sistem tindak balas kecemasan, termasuk keupayaan sistem mengesan dan penjagaan pesakit," katanya.

Beliau turut memberi amaran, dunia bakal menyaksikan pasaran kewangan terjejas teruk akibat ketidakpastian; rantaian bekalan global terganggu; pelaburan dan permintaan pengguna merosot dan risiko meningkatnya kemelesetan ekonomi. 

"Ini adalah masa untuk bertindak dengan lebih bijak dan cermat, bukannya panik. Walaupun situasi itu diklasifikasikan sebagai pandemik, ia adalah satu keadaan yang dapat kita kawal.

"Kita boleh melambatkan penularan, mencegah jangkitan dan menyelamatkan nyawa, tetapi ia memerlukan tindakan bersepadu semua pihak di seluruh dunia," tegasnya.

Post a Comment

0 Comments