Nanyang minta maaf , Guan Eng sedia saman Papagomo


AKHBAR
berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau memohon maaf berhubung laporan salah yang mendakwa anak seorang pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) ditangkap di Singapura dengan wang tunai RM2 juta.

Dalam penjelasannya, Nanyang mengakui artikel disiarkan pihaknya mengandungi maklumat dari sumber yang salah. 

"Selepas disemak, laporan itu berdasarkan maklumat yang salah.

"Perkara itu banyak diperdebatkan dalam talian dan menyebabkan mendapat kecaman," kata akhbar harian berbahasa Cina itu.

Mengambil kira kesannya, Nanyang turut membuat permintaan maaf kepada individu itu dan pembaca secara amnya.

Pelayar media sosial sebelum ini dikejutkan dengan berita tular yang mendakwa anak seorang pemimpin utama HARAPAN dari DAP ditahan di republik itu kerana 'kononnya' memiliki wang yang tidak dilaporkan dan akan dikenakan denda.

Berita palsu itu yang ditularkan di media sosial dilihat sebagai satu percubaan untuk memberi persepsi buruk kepada bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Susulan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tampil dengan kenyataan menafikan dakwaan tersebut dan berkata, anak Guan Eng berada di negara jiran itu tetapi tidak ditahan oleh pihak berkuasa di sana.

"Ia tidak benar. Kami tidak menerima sebarang laporan bahawa anak dia (Guan Eng) ditahan di Singapura. Ia sebenarnya berita palsu yang tersebar," katanya sambil menegaskan pihaknya akan menyiasat dalang kepada penyebaran berita itu.

Sementara itu, Lim dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kesediaan menyaman ahli exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo kerana menyebarkan khabar angin tidak benar itu.

Sebagai rekod, pada 2014, Papagomo yang juga bekas blogger Umno diperintah oleh Mahkamah tinggi untuk m embayar hampir RM1 juta kerana memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui empat siri penyiaran fitnah dan meletak imej mengaitkan Anwar dalam video seks pada 16, 17, 19 dan 20 Mac 2013.

Post a Comment

0 Comments