EMPAT individu dilapor rentung manakala seorang lagi masih hilang dalam kebakaran melibatkan diesel hydrotreater unit di Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang dekat Kota Tinggi, Johor.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pauzan Ahmad berkata, terdapat tujuh mangsa terlibat dalam kemalangan malam tadi itu.
Selain empat disahkan rentung, seorang mangsa difahamkan dapat menyelamatkan diri dan seorang lagi individu lain mengalami cedera.
"Terdapat tujuh mangsa iaitu empat rentung yang dikeluarkan anggota JBPM, seorang melecur 70 peratus dikeluarkan Pasukan Tindakan Kecemasan (Emergency Response Team), seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi masih hilang, " katanya.
Sehingga pagi tadi, JBPM masih menjalankan operasi mencari seorang lagi mangsa.
Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) mengesahkan letupan dan kebakaran tersebut.
PRPC memaklumkan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan telah mengaktifkan pasukan respons kecemasan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan PRPC, keadaan kini terkawal dan keutamaan kini adalah untuk memastikan keselamatan pekerja dan alam sekitar.