TUJUH individu dilapor dikesan cuba menipu dalam pemilihan cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Klang.
Harian Metro dalam laporan mereka yang memetik sumber mendakwa cubaan menipu itu dikesan jawatankuasa pemilihan parti berkenaan ketika proses pemberian kertas undi dijalankan dengan individu itu meletakkan nama individu lain pada kad pengenalan mereka.
“Kita dapat kesan sewaktu pemberian kertas undi, bila semak semula, nampak ada yang tak kena, jadi saya minta ahli beri kad pengenalan untuk kita semak.
“Terdapat tujuh individu menggunakan kad pengenalan palsu yang mana nama orang lain yang dilekatkan pada kad pengenalan berkenaan,” katanya sumber itu seperti dilapor.
Dipercayai penipuan berkenaan dilakukan untuk memastikan individu-individu terbabit dapat masuk untuk melakukan undian ketika pemilihan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Kes diterima membabitkan Pengundian Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Cawangan Pandamaran Klang.
“Siasatan dijalankan mendapati ketika satu sesi pendaftaran pemilihan persidangan BERSATU bagi cawangan Pandamaran Klang diadakan, tujuh individu mengemukakan kad pengenalan yang ditampal pelekat memaparkan nombor dan nama palsu,” katanya menurut laporan tersebut.
Susulan itu tambah Shamsul, pihaknya kini menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Menipu dengan jalan samaran).
0 Comments