JUMLAH kes disahkan positif koronavirus (Covid-19) meningkat secara mendadak dengan anggaran peningkatan lebih 200 peratus.
Setakat 12 tengahari semalam sebanyak 190 kes baharu direkodkan, yang menjadikan kes kumulatif jangkitan koronavirus di negara ini meningkat kepada 428 kes.
Difahamkan, angka itu sekaligus menjadikan Malaysia sebagai negara di Asia Tenggara mencatatkan jumlah kes tertinggi berbanding sebelum ini.
Beberapa portal berita dalam laporan mereka yang memetik kementerian Kesihatan berkata, kebanyakan kes baharu yang dikenal pasti itu mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, baru-baru ini.
Dari sumber kementerian, difahamkan seramai sembilan pesakit bergantung pada mesin bantuan pernafasan dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
"Justeru KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) menyeru peserta perhimpunan tabligh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya," katanya kenyataan kementerian.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata peserta perhimpunan tabligh yang menghadiri himpunan itu baru-baru ini diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ia meliputi tempoh 14 hari mengikut tarikh akhir bagi yang menghadiri perhimpunan atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 mengikut mana yang terkemudian.
Perkara itu tegasnya diputuskan selepas perbincangan melalui satu sesi sidang video membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak Masjid Jamek Sri Petaling.
"Pihak pengurusan Masjid Jamek (Sri Petaling) akan membantu dan bekerjasama dengan KKM dan Jakim untuk terus berkomunikasi dengan ahli jemaah tabligh terutama bagi memastikan semua yang terlibat dapat hadir untuk pemeriksaan, saringan atau ujian yang ditetapkan.
"KKM menasihatkan semua peserta perhimpunan tabligh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan lain.
0 Comments