Masjid di Shah Alam ditutup kerana koronavirus


SEBUAH
Masjid di Shah Alam ditutup sementara apabila seorang jemaahnya disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Nazir masjid Al-Munawwarah di Seksyen 27, Muhaiyat Husin berkata, penutupan sementara itu membabitkan semua aktiviti termasuk solat fardu, Ia perlu bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan.

“Atas pertimbangan keselamatan jemaah dan penularan wabak Covid-19, kami memaklumkan bahawa Masjid Al Munawwarah akan ditutup sementara waktu untuk sebarang aktiviti.

“Semua jemaah dan ahli kariah dinasihatkan untuk solat di rumah atau ke surau dan masjid berdekatan lain, sementara menunggu tindakan lanjut oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pejabat Agama Islam Daerah,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, jemaah terbabit disahkan positif selepas pulang dari bercuti di Vietnam.

Sementara itu tambah Muhaiyat, pegawai masjid akan bertugas melaungkan azan seperti biasa, namun kariah tidak digalakkan untuk solat berjemaah di masjid.

Notis pemberitahuan juga jelasnya akan ditampal di pagar dan pintu masuk masjid bagi memudahkan jemaah.

“Insya Allah ibadat dan aktiviti masjid akan diteruskan selepas selesai pembersihan dan disahkan pihak berwajib,” katanya lagi. 


Bagaimanapun, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menafikan penutupan masjid tersebut.
 

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan penutupan masjid hanya akan diumumkan selepas JAIS membuat semua pertimbangan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Shahzihan berkata, notis arahan penutupan berkenaan sebenarnya dikeluarkan oleh nazir masjid itu tanpa pengetahuan JAIS.

"Saya dah arahkan penarikan balik arahan ini dan aktiviti diteruskan," katanya.

Post a Comment

0 Comments