Apple tutup pusat jualan 2 minggu


SYARIKAT teknologi Apple mengambil langkah proaktif menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) apabila menutup semua pusat jualannya di luar China.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook memaklumkan, penutupan semua pusat jualan itu dikuatkuasa bagi tempoh dua minggu sehingga 27 Mac ini.

Memetik laporan media antarabangsa AFP, Tim berkata, Apple belajar daripada langkah dilakukan syarikat gergasi teknologi terbabit di China.  Meskipun kedai ditutup, pekerjanya akan dibayar seperti biasa.

"Salah satu daripada pengajaran ini ialah cara yang paling berkesan untuk meminimumkan risiko penularan adalah mengurangkan kepadatan dan memaksimumkan jarak sosial.

"Oleh kerana kadar jangkitan baharu di tempat lain terus meningkat, kami mengambil langkah tambahan untuk melindungi ahli pasukan dan pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun jelasnya, kedai dalam talian Apple akan terus dibuka, namun kakitangan pejabat di luar China akan bekerja dari jauh jika boleh.

Syarikat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat itu mempunyai kira-kira 500 kedai di 24 negara di seluruh dunia.

Bagi menghargai kakitangannya, Apple turut memperluaskan polisi cuti untuk menampung keadaan kesihatan peribadi atau keluarga disebabkan oleh Covid-19.

Ia termasuk menjaga orang tersayang, kuarantin mandatori atau menjaga anak kerana sekolah ditutup.

Selain itu, Apple turut menyumbang AS$15 juta (RM64 juta) untuk membantu memerangi pandemik.

Sebagai rekod, kesemua 42 kedai Apple di seluruh China telah dibuka semula selepas ditutup sejak 1 Februari lalu susulan virus yang tersebar dengan pantas di negara itu.