Kedah tewas di laman sendiri


KEDAH gagal dalam misi memungut tiga mata pertama pada saingan Liga Super musim ini.

Pasukan itu tewas 3-4 kepada Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Beraksi di hadapan hampir 10,000 penyokong setia, skuad Lang Merah  itu gagal memberi persembahan terbaik kepada peminat. Kedah dikejutkan dengan jaringan seawal minit ke-2 pelawat menerusi Dominique Da Slyva.

Namun skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu kembali menceriakan penyokong apabila sepakan percuma oleh Hadin Azman gagal ditangkap kemas penjaga gawang TFC, peluang pada minit ke-19 itu dimanfaatkan sepenuhnya Renan Alves untuk membolosi gawang TFC.

Selang dua minit kemudian Stadium Darul Aman kembali gamat dengan sorakan dan kali ini giliran penyerang sensasi Kedah Kpah Sherman yang berjaya menggerakkan bola dengan baik hasil hantaran pemain bek kanan Rizal Ghazali dan seterusnya merembat bola menewaskan Rahadiazli Ramalim.

Babak kedua, menyaksikan Kedah menambah gol ketiga melalui percubaan Kipre Tchetche yang menerjah jaring TFC pada minit ke-61 hasil lorongan Shakir Hamzah.

Keceriaan Kedah tidak kekal lama apabila tiga minit selepas itu, TFC kembali menambah gol kedua melalui Da Slyva yang memperoleh peluang di hadapan gol menerusi sepakan sudut.

Pelawat menambah duka tuan rumah menerusi dua gol pantas dihasilkan Da Slyva pada minit ke-81 dan ke-83.

Post a Comment

0 Comments