PERUBAHAN kerajaan di Perak sudah dijangka tegas Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Farhash yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) turut berkata, mereka turut menjangkakan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) di negeri itu akan runtuh berdasarkan tindak tanduk ditunjukkan bekas Menteri Besar HARAPAN Ahmad Faizal Azumu.
"Kami sudah menjangkakan Perak juga tidak akan terselamat kerana sudah lama kecewa (dengan) Faizal.
"Sikapnya yang suka mempermainkan rakyat boleh dilihat sepanjang minggu lepas dalam melengahkan masa untuk membuat keputusan pendirian Bersatu.
"Kerajaan kita mungkin jatuh hari ini tapi akan bangkit semula bersama rakan-rakan yang setia berjuang tanpa kewujudan kabilah," katanya dalam satu kenyataam
Kerajaan HARAPAN di Perak hari ini tumbang apabila gabungan Perikatan Nasional (PN) mendapat 32 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru melalui gabungan Umno dan Pas serta beberapa bekas pemimpin dalam HARAPAN sebelum ini.
Perkara itu diumumkan Faizal dalam satu sidang media khas yang diadakan di Ipoh.
"Saya dengan ini ingin memaklumkan kepimpinan Bersatu, Umno dan PAS Perak telah mencapai persetujuan untuk bentuk gabungan baru.
"Gabungan ini melibatkan empat Adun daripada Bersatu iaitu saya sebagai Adun Chenderiang dan Adun Sungai Manik, Zainol Fadzi serta dua lagi Adun yang telah menyertai Bersatu iaitu Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan Adun Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
Dalam pada itu Farhash menyifatkan Faizal dan sekutunya sebagai rakus kerana sanggap membelakangkan rakyat dan wajar dihukum dalam pilihan raya nanti.
Sementara itu bekas exco kerajaan negeri Perak, Howard Lee Chuan How, berkata kejatuhan kerajaan HARAPAN Perak memberi gambaran sebenar siapa sahabat dan lawan.
Katanya, beliau akan terus kekal mempertahankan prinsip dan integriti walau dalam apa juga situasai.
"Maruah dan integriti dipegang teguh, waktu bangun mahupun jatuh," katanya.
0 Comments