5 lagi disahkan positif, ATM nafi anggota dijangkiti


LIMA
lagi individu disahkan positif koronavirus (Covid-19) dengan kesemua mereka dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan kes ke-26, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata dengan pengesahan lima kes baharu itu, jumlah kumulatif positif COVID-19 di negara ini  sehingga hari ini adalah sebanyak 55 kes.

Daripada jumlah 55 kes berkenaan, 22 daripadanya sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad.

“Kesemua kes baharu ini berhubung kait dengan satu kluster Covid-19 yang telah dikenal pasti sebelum ini yang melibatkan kes positif ke-26. Kes-kes ini merupakan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dalam kluster tersebut.

“Justeru, sehingga kini, jumlah kes positif bagi kluster ini adalah sebanyak 26 kes. Siasatan dan pengesahan kontak bagi kluster tersebut masih diteruskan,” katanya dipetik Bernama.

Noor Hisham berkata begitu pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster Penyakit Coronavirus dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Tambahnya jumlah kontak rapat bagi kes ke-26 setakat ini ialah 258 di mana 18 kes adalah positif (generasi pertama), 19 negatif dan 211 masih menunggu keputusan ujian saringan.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan terdapat kes Covid-19 di Pangkalan Udara Subang dan Kementerian Pertahanan (Mindef), di sini.

Perkara berkenaan disahkan oleh Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang ketika dihubungi Bernama hari ini.

"Sebenarnya Panglima Operasi TUDM ada mengadakan lawatan di sebuah hospital swasta di Subang yang terdapat kes pesakit Covid-19 ditempatkan di situ.

"Beliau, bagaimanapun telah diperiksa dan dikuarantin sebagai langkah berjaga-jaga dan dia disahkan bebas daripada jangkitan Covid-19. Perkara ini telah disalah tafsir," katanya

Terdahulu, tersebar di aplikasi WhatsApp kononnya berlaku penularan wabak COVID-19 dalam kalangan anggota pasukan keselamatan itu.